Thursday, April 23, 2009

HADITH AHAD

1.0 Takrif Bahasa

Khabar al-Wāhid ialah apa yang diriwayatkan (perawi hadith) seorang. Jamacnya Akhbār al-Āhad

1.1 Takrif Istilah

Apa yang diriwayatkan oleh perawi seorang, dua orang atau lebih. Tetapi tidak memenuhi syarat-syarat al-Mashur atau al-Mutawatir .

Hadith Āhad yang memenuhi syarat-syarat hadith sahih, dari segi nilai perawinya dikira sabit secara zanni. Walaupun sabit secara zanni, tetapi dari segi nilai kehujahan dan kewajipan beramal dengannya adalah wajib sama seperti hadith Mutawatir . Hadith Ahad terbahagi kepda tiga jenis : Masyhur, cAziz dah Gharib.

2.0 HADITH MASYHUR المشهور

2.1 Takrif Bahasa :

Ialah Isim Mafūl dari الشهرة iaitu diketahui atau masyhur di kalangan manusia dan sentiasa disebut .

2.2 Takrif Istilah :

Iaitu suatu hadith yang diriwayatkan oleh tiga orang perawi atau lebih di setiap thabaqat sanad tetapi tidak sampai ke tahap bilangan hadith Mutawatir .

Contonya hadith yang bermaksud :

إِنَّ اللَّهَ لَا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ

Maksudnya : sesunguhnya Allah s.w.t tidak akan menarik ilmu ( daripada umat Islam ) secara mengejut, tetapi ia akan menariknya dengan cara mematikan ulama.

Sebahagian ulama mengistilahkannya dengan istilah al-Mustafid المستفيض. manakala sebahagian yang lain cuba membezakan kedua-dua istilah tersebut. Ada yang mengkhususkan al-Mustafid kepada keadaan bilangan perawi di akhir dan di awal sanad sama jumlahnya. Sementara ada juga yang berpendapat sebaliknya iaitu mereka mengkhususkan al-Masyhur kepada keadaan tersebut . Ulama’ telah membahagikan hadith Masyur kepada dua jenis : Masyhur al-Istilah iaitu sebagaimana definisi di atas dan Masyhur Bukan al-Istilah.

Masyhur Bukan istilah ialah hadith-hadith masyhur kerana kekerapan penggunaannya. Tanpa mengira bilangan perawi yang terdapat dalam rangkaian sanadnya. Termasuk dalam pengertian ini ialah semua hadith yang sering disebut sama ada mempunyai satu sanad atau tidak mempunyai sanad langsung, baik yang sahih, daif ataupun mauduc ( palsu ) . Hadith Masyhur Bukan Masyhur terbahagi kepada beberapa jenis berdasarkan kumpulan manusia yang selalu menggunakanya.


2.2.1 Masyhur di kalangan ahli hadith. Seperti hadith riwayat Anas r.a :

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَنَتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَهْرًا بَعْدَ الرُّكُوعِ يَدْعُو عَلَى رِعْلٍ وَذَكْوَانَ

Maksudnya : daripada Anas bin Malik r.a telah berkata, bahawa Rasulullah s.a.w telah
membaca doa Qunut selama sebulan kerana mendoakan keatas puak Ri`l dan Zakwan.

2.2.2 Masyhur di kalangan ahli feqh. Seperti hadith :

أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقُ

Maksudnya : Tiada perkara yang halal yang dibenci oleh Allah s.w.t lebih daripada perceraian.( al-Hakim ). Al-Hakim menghukumkan hadith ini sebagai sahih dan telah diperakui oleh al-dhahabi.

2.2.3 Masyhur di kalangan Ahli Usul Feqh, seperti hadith yang bermaksud :

Maksudnya : Dimaafkan bagi umatku segala kesilapan (yang tidak disengajakan) keterlupaan dan keterpaksaan. Hadith ini telah dihukum sahih oleh Ibn Hibban dan al-hakim.

2.2.4 Masyhur di kalangan Ahli Nahu. Seperti hadith :

نعم العبد صهيب لو لم يخف الله لم يعصه

Maksudnya : sebaik-baik hamba ialah Suhaib, jika ia tidak takut kepada Allah nescaya ia akan melakukan maksiat. Hadith ini dihukumkan لا أصل له yang bermaksud sanadnya tidak berasas ( palsu ).

2.2.5 Masyhur di kalangan orang awam. Seperti hadith :

العجلة من الشيطان
Maksudnya : Kegelojohan itu dari Syaitan.


Hukum hadith Masyhur, sama ada Masyhur Istilah atau Bukan Istilah bergantung kepada keadaan sanad dan matannya, sama ada sahih, hasan, daif mahupun mauduc. Hadith Masyhur yang sahih mempunyai kekuatan dan mempunyai nilai kekuatan yang lebih berbanding dengan hadith Ahad yang lain.

3.0 HADIS GHARIB الغريب

Iaitu suatu hadith yang diriwayatkan oleh seorang perawi di semua atau pada satu daripada thabaqat sanad. Andainya al-Gharabah ( ketunggalan perawi ) berlaku hanya pada satu thabaqat sahaja sedangkan di thabaqat yang lain bilangannya lebih daripada seorang, maka ia masih dikira Gharib.

Sebahagian ulama’ seperti al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menggunakan istilah al-fard ( الفرد ) dengan makna yang sama dengan istilah al-Gharib. Manakala sebahagian yang lain membezakan mafhum kedua-dua istilah tersebut dari segi kebiasaan penggunaannya dengan menggunakan istilah al-Fard bagi maksud al-Gharib mutlak dan menggunakan istilah al-Gharib bagi maksud al-Gharib al-Nisbi. Ulama’ telah membahagikan jenis hadith Gharib kepada dua berdasarkan tempat berlakunya al-Gharabah.

3.1 Al-Gharib al-Mutlak atau al-Fard Mutlak, apabila gharabahnya berlaku pada asal sanad. Ulama’ khilaf dalam menentukan maksud asal sanad, walau bagaimanapun pendapat yang terpilih ialah penghujug sanad yang ada pada sahabat. Jenis inilah yang dinamakan ( غريب سندا ومتنا ) iaitu Gharib pada kedua-dua sanad dan amtan. Contohnya ialah seperti tentang hadith tentang keutamaan niat yang diriwayatkan secara tunggal oleh Umar Ibn al-Khattab r.a dan tidak ada sahabat lain yang meriwayatkannya selain daripadanya.

3.2 Al-Gharib al-Nisbi atau Fard al-Nisbi, apabila wujud gharabah dinisbahkan kepada seorang perawi selepas thabaqat sahabat atau dinisbahkan kepada keadaan tertentu yang ada pada sanad tersebut. Jenis inilah yang dinamakan (غريب سندا ومتنا) iaitu Gharib dari segi sanadnya sahaja. Jenis inilah juga yang diistilahkan oleh al-Tirmizi dalam kitabnya al-Sunan sebagai غريب من هذ الوجه

4.0 HADITH AZIZ ( العزيز )

Ialah hadith yang diriwayatkan oleh tidak kurang daripada dua orang perawi di setiap thabaqat sanad. Sekiranya di sebahagian thabaqat terdapat tiga orang perawi atau lebih sedangkan hanya satu thabaqat sahaja yang mempunyai dua orang perawi. Maka ia masih lagi dikira cAziz. Contonya ialah hadith yang bermaksud :

“ Tidak iman seseorang kamu sehingga cintanya terhadapku melebihi cintanya terhadap ayah, anak dan semua manusia yang lain ” ( al-Bukhari )


Hadith ini telah diriwayatkan daripada Anas Ibn Malik r.a oleh Qatadah Ibn Di`amah dan Abd al-Aziz Ibn Suhaib dan daripada Qatadah oleh Shu`bah dan Sa`id manakala daripada Abd al-Aziz pula oleh Ismail Ibn Ulaiyyah dan Abd al-Warith. Kemudian selepas mereka, barulah rangkaian Sanad itu berkembang dengan banyak.

Cara menentukan hukum hadith cAziz adalah sama cara penentuan hukum Hadith Masyhur. Ulama tidak mengadakan sumber rujukan yang khusus untuk Hadith cAziz kerana jumlahnya yang terlalu sedikit disamping tiada faedah yang besar daripada pengumpulannya.

2 comments:

TheSinner™ said...

sangat berguna...terima kasih

heartnet said...

thanks kerana menyediakan hadis-hadis yang mempunyai baris..sangat memudahkan pembacaan..- Syukran.